Monday, February 9, 2009

Eratkan silaturrahim melalui sukan - Tengku Adnan

Putrajaya, 8 Februari 2009 - Kumpulan Yayasan telah berjaya menganjurkan satu lagi program, iaitu Pertandingan Futsal Tertutup Putrajaya 2009 bagi merebut Piala Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Pertandingan ini telah berakhir dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan. Dianggarkan jumlah kehadiran pemain dan penonton adalah sekitar 700 orang dan dilaporkan bahawa tiada sebarang insiden pergaduhan sepanjang tempoh pertandingan. Setiap perlawanan berlangsung dengan licin tanpa banyak pertikaian daripada sebarang pasukan.

Sebanyak 56 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan yang dijalankan secara kumpulan dalam pusingan pertama seterusnya secara kalah mati dalam pusingan kedua. Pertandingan ini telah bermula seawal 9 pagi dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Tengku Adnan menyebut bahawa idea untuk menganjurkan program ini adalah amat baik, lebih-lebih lagi bagi merapatkan silatur rahim dalam kalangan golongan muda di dalam kejiranan Putrajaya. Dalam ucapan beliau, beliau turut mengulas kemelut politik di negeri Perak dan krisis-krisis politik yang berlaku di seluruh dunia, termasuk konflik Israel dan Palestin.

Saudara Iqbal telah menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak Kelab Futsal Putrajaya dan Kumpulan Yayasan, mewakili saudara Tun Faisal Ismail yang berada di Pensiangan, Sabah. Dalam ucapan beliau, saudara Iqbal menyebut bahawa selepas ini akan ada lebih banyak program dilaksanakan, termasuk futsal bagi golongan wanita, pelajar sekolah dan golongan veteran.

Pengarah projek ini, Saudara Zaid menyatakan bahawa antara faktor kenapa pertandingan kali ini berlangsung dengan lebih lancar dan licin adalah kerana perancangan mengenainya telah dibuat lebih awal, iaitu lebih sebulan setengah sebelum tarikh pertandingan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Khairudin Samad. Pertandingan ini telah dijuarai oleh pasukan 400 'A' dan naib johan adalah pasukan Mineral Water. Tempat ketiga disandang oleh pasukan Kasturi 'A', manakala tempat keempat adalah pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

No comments:

Post a Comment