Saturday, May 23, 2009

Tengku Adnan - buang hasad dengki, untuk bersatu dan maju

Putrajaya, 23 Mei - Ahli Parlimen Putrajaya, YB Datuk Seri Tengku Adnan menyeru agar kita membuang perasaan iri hati dan hasad dengki agar kita dapat bersatu padu dan maju. Tambah beliau lagi, tidak perlu iri hati apabila melihat program yang dijayakan oleh orang lain, sebaliknya itu seharusnya menjadikan kita bersemangat untuk melaksanakan lebih banyak program lagi. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Liga Sukan Komuniti Putrajaya 2009 di Stadium Pancarona, Putrajaya.

Sebagai Ahli Parlimen Putrajaya, beliau juga menyatakan kesediaan untuk terus memberikan sokongan terhadap program-program Kelab Sukan Komuniti Putrajaya bagi memastikan golongan muda dapat dibangunkan dan interaksi serta semangat perpaduan dalam kalangan mereka dapat dipertingkatkan. Beliau juga mahu agar Kelab Sukan Komuniti dan persatuan sukan lain yang ada di dalam Putrajaya dapat membangunkan pelbagai program yang boleh melahirkan atlit bertaraf dunia.

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengerusi Kelab Sukan Komuniti Putrajaya, sdr Tun Faisal Ismail bin Aziz menyatakan kesediaan beliau dan rakan-rakan untuk membantu Ahli Parlimen Putrajaya melaksanakan segala program yang beliau rancangkan. "Walaupun kami tidak mempunyai jawatan dalam Bahagian, kami dalam Kelab Sukan Komuniti dan Kumpulan Yayasan ingin menyatakan komitmen bahawa kami akan berusaha sedaya upaya kami melaksanakan program-program yang dapat membangunkan golongan muda dan masyarakat Putrajaya, lelaki dan wanita serta golongan veteran. Gunakanlah kami untuk melaksanakan program yang Datuk Seri kehendaki," ujar beliau.

Dalam ucapan beliau, beliau juga menyebut, "sebenarnya tidak ada bahagian dalam bahagian, sebaliknya yang ada hanya orang yang ingin bekerja untuk Bahagian dan Ahli Parlimen," dan beliau berharap sumbangan beliau dan rakan-rakan beliau dapat diterima dengan baik oleh kepemimpinan bahagian dan pemuda di Putrajaya.

No comments:

Post a Comment