
Putrajaya, 26 Februari 2009 - Mesyuarat kedua Kumpulan Yayasan telah diadakan di Dewan Komuniti Presint 16. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Sdr Tun Faisal Ismail Aziz. Mesyuarat kedua ini adalah susulan kepada mesyuarat pertama di Mamak Kasturi dan bertujuan untuk melantik anggota Kabinet Kumpulan Yayasan dan merancang program sepanjang tahun Kumpulan Yayasan.
Dalam ucapan alu-aluan, Sdr Tun Faisal telah membentangkan visi dan misi perubahan yang ingin beliau bawa dalam kalangan golongan muda dan remaja di Putrajaya. Beliau telah menerangkan dengan jelas dan terperinci perancangan dan strategi yang boleh digunakan serta telah menunjukkan platform-platform yang boleh digunakan untuk menjayakan agenda perubahan di dalam Putrajaya. Pada waktu yang sama beliau telah membuka fikiran golongan muda di Putrajaya untuk melihat peluang-peluang di sekeliling mereka yang boleh diambil bagi menggerakkan agenda ekonomi golongan muda di Putrajaya.
Dari segi penggerak di peringkat induk, ahli mesyuarat secara sebulat suara telah memberi kepercayaan kepada Sdr Tun Faisal untuk terus mempengerusikan Kumpulan Yayasan. Sdr Mohd Iqbal yang merupakan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Bahagian, Ketua Cawangan Kasturi dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi. Sdr Mohd Noh, mantan Ketua Pemuda Cawangan Teratai dan G2 Putrajaya telah dilantik sebagai Setiausaha; Sdr Razali Daiman, mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, sebagai Penolong Setiausaha; Sdr Mahmud, sebagai Bendahari; Sdr Taupek, mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, mantan Ahli Jawatankuasa Bahagian dan mantan Ketua Pemuda Cawangan Bunga Raya sebagai Pengerusi Biro Ekonomi. Turut dilantik di dalam Kabinet Kumpulan Yayasan adalah sdr Wan Azlan (Belia Usahawan), Zaid (Sukan - Takraw), Saiful (Sukan - Bola Tampar), Rusmizi (Sukan - Futsal). Beberapa jawatan lain akan diisi kemudian berdasarkan minat penggerak utamanya. (senarai lengkap anggota Kabinet Kumpulan Yayasan akan dimaklumkan kemudian beserta nombor telefon mereka)