Tuesday, December 1, 2009
Anak-anak di Putrajaya bertuah - Tengku Adnan
Putrajaya, 15 Julai 2009, Yayasan Pembangunan Modal Insan (INSAN) Putrajaya - Scholastic (M) Sdn Bhd telah mendermakan sejumlah 10,000 buah buku bernilai RM 100,000 dan Grolier On-line and langganan percuma Scholastix Bookflix bagi tempoh dua tahun bernilai RM 196,000 kepada 20 buah sekolah rendah dan menengah di dalam Parlimen Putrajaya. Sumbangan melalui program 'Connecting Students to the World of Learning' ini dapat memberi manfaat kepada lebih 13,000 orang murid dan guru di Putrajaya. Berita dan gambar turut dimuatkan dalam laman web Scholastic. Berita turut dilaporkan dalam Harian Metro dan Malay Mail.
Tuesday, May 26, 2009
Perbadanan anjur Liga Bolasepak Piala Presiden - Hj Zamri
Putrajaya, 25 Mei - Liga Sukan Komuniti Putrajaya 2009 berakhir meriah petang semalam dengan pertandingan akhir Liga Bolasepak Komuniti dan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang liga sukan-sukan yang dipertandingkan. Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutupan Liga Sukan Komuniti semalam disempurnakan oleh Tn Hj Zamri b Hashim, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya. Dalam ucapan beliau, beliau mengulangi komitmen akan menyokong segala aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh Kelab Sukan Komuniti Putrajaya dan turut memaklumkan tentang rancangan Perbadanan Putrajaya untuk menganjurkan Liga Bolasepak Piala Presiden Perbadanan Putrajaya tidak lama lagi.
Sementara itu dalam Liga Bolasepak Komuniti, sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian. Pasukan dari Presint 9, Kasturi muncul juara, mengalahkan pasukan Putra Damai, 5-1. Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan PDRM, mengatasi pasukan Padang Haram B, melalui lambungan duit syiling selepas kedua-dua pasukan tidak dapat menentukan pemenang melalui sepakan penalti.
Saturday, May 23, 2009
Tengku Adnan - buang hasad dengki, untuk bersatu dan maju
Putrajaya, 23 Mei - Ahli Parlimen Putrajaya, YB Datuk Seri Tengku Adnan menyeru agar kita membuang perasaan iri hati dan hasad dengki agar kita dapat bersatu padu dan maju. Tambah beliau lagi, tidak perlu iri hati apabila melihat program yang dijayakan oleh orang lain, sebaliknya itu seharusnya menjadikan kita bersemangat untuk melaksanakan lebih banyak program lagi. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Liga Sukan Komuniti Putrajaya 2009 di Stadium Pancarona, Putrajaya.
Sebagai Ahli Parlimen Putrajaya, beliau juga menyatakan kesediaan untuk terus memberikan sokongan terhadap program-program Kelab Sukan Komuniti Putrajaya bagi memastikan golongan muda dapat dibangunkan dan interaksi serta semangat perpaduan dalam kalangan mereka dapat dipertingkatkan. Beliau juga mahu agar Kelab Sukan Komuniti dan persatuan sukan lain yang ada di dalam Putrajaya dapat membangunkan pelbagai program yang boleh melahirkan atlit bertaraf dunia.
Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengerusi Kelab Sukan Komuniti Putrajaya, sdr Tun Faisal Ismail bin Aziz menyatakan kesediaan beliau dan rakan-rakan untuk membantu Ahli Parlimen Putrajaya melaksanakan segala program yang beliau rancangkan. "Walaupun kami tidak mempunyai jawatan dalam Bahagian, kami dalam Kelab Sukan Komuniti dan Kumpulan Yayasan ingin menyatakan komitmen bahawa kami akan berusaha sedaya upaya kami melaksanakan program-program yang dapat membangunkan golongan muda dan masyarakat Putrajaya, lelaki dan wanita serta golongan veteran. Gunakanlah kami untuk melaksanakan program yang Datuk Seri kehendaki," ujar beliau.
Dalam ucapan beliau, beliau juga menyebut, "sebenarnya tidak ada bahagian dalam bahagian, sebaliknya yang ada hanya orang yang ingin bekerja untuk Bahagian dan Ahli Parlimen," dan beliau berharap sumbangan beliau dan rakan-rakan beliau dapat diterima dengan baik oleh kepemimpinan bahagian dan pemuda di Putrajaya.
Saturday, May 16, 2009
Lahirkan atlit bertaraf dunia - Datuk Ghani
Putrajaya, 16 Mei - "Gunakan kemudahan yang ada di Putrajaya untuk melahirkan atlit bertaraf dunia", demikian saranan Datuk Abdul Ghani Ahmad, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya di dalam ucapan pelancaran Liga Sepak Takraw dan Bola Jaring Komuniti Putrajaya 2009. Dalam ucapan beliau, Datuk Ghani juga menyebut bahawa Perbadanan Putrajaya akan memberikan segala sokongan dan bantuan bagi membantu melahirkan masyarakat yang cergas, sihat dan harmoni dalam kejiranan Putrajaya.
Sebelum itu dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Kelab Sukan Komuniti, Sdr Tun Faisal Ismail bin Aziz menyebut bahawa, walaupun terdapat sejumlah persatuan sukan dan belia di dalam Putrajaya, namun kebanyakannya tidak aktif dan hanya melaksanakan program-program di luar Putrajaya sehingga menyebabkan golongan pemuda dan pemudi di Putrajaya terabai. Beliau berkata, Kelab Sukan Komuniti dan Kumpulan Yayasan yang diterajui beliau komited untuk terus mengadakan pelbagai aktiviti lagi, bukan sahaja melibatkan golongan muda tetapi juga golongan veteran bagi mempromosikan budaya hidup sihat dan menggalakkan interaksi yang lebih mesra dalam kalangan penduduk di Putrajaya.
Ketua urusetia Liga Sepak Takraw Putrajaya 2009 adalah sdr Zaid bin Hamid dan ketua urusetia Liga Bola Jaring Putrajaya 2009 pula adalah sdri Noor Zulaini bt Zulkefli. Sebanyak 13 pasukan menyertai Liga Sepak Takraw Komuniti kali ini, iaitu pasukan Presint 14 A, Presint 14 B, Presint 14 C, Putra 9A, Putra 9B, Putra 9C, JPB A, JPB B, Spring Team A, Spring Team B, JPM, Mampu Milik dan Dream Team. Manakala bagi sebanyak sembilan pasukan mengambil bahagian dalam Liga Bola Jaring Komuniti, iaitu pasukan Manja, Bomba, Perkom Blok C, PC Challenger, Kasturi Team, SK Putrajaya Presint 11(1), SK Putrajaya Presint 8(2), AFC Team dan Blok D Power.
Johan bagi Liga Sepak Takraw Komuniti adalah pasukan JPB A, naib johan, Spring Team B, tempat ketiga Presint 14 C dan tempat keempat Putra 9 A. Manakala johan bagi Liga Bola Jaring Komuniti adalah pasukan Manja, naib johan, Bomba, ketiga, AFC Team dan keempat, SK Putrajaya Presint 8(2).
(Gambar - Datuk Ghani melakukan servis bagi menandakan bermulanya Liga Sepak Takraw Komuniti Putrajaya 2009)
Sunday, May 10, 2009
Liga Sukan Komuniti Putarajaya 2009 bermula...
Putrajaya, 9 Mei 2009 - Liga Bola Tampar Komuniti anjuran Kelab Sukan Komuniti Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Putrajaya, NADI dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya telah berlangsung dengan lancar dan disertai oleh 12 pasukan yang terpilih. Sukan ini merupakan salah satu dari empat sukan yang dipertandingkan di bawah acara Liga Sukan Komuniti Putrajaya 2009.
Liga Bola Tampar Putrajaya ini telah selamat dilancarkan oleh Tuan H Nordin Hassan, Pengerusi NADI yang juga merupakan Naib Ketua Bahagian UMNO Putrajaya. Dalam ucapan pelancaran, beliau berharap lebih banyak program sukan seperti ini dapat dianjurkan agar golongan belia dalam Putrajaya dapat dihindarkan dari terlibat dengan pelbagai gejala negatif hari ini.
Sebelum itu Pengerusi Kelab Sukan Komuniti Putrajaya, sdr Tun Faisal Ismail b Aziz berkata, memang menjadi hasrat beliau semasa bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya adalah untuk melaksanakan sebanyak mungkin program untuk golongan muda Putrajaya yang nampaknya dahagakan program yang berkualiti dan melibatkan mereka. Beliau kesal kerana selama persatuan-persatuan sukan dan belia di Putrajaya sebenarnya tidak diuruskan oleh penduduk Putrajaya, tetapi oleh orang yang tinggal di luar Putrajaya. Bukan sahaja ini menyebabkan persatuan-persatuan sukan dan belia ini tidak aktif, tetapi juga menyebabkan golongan belia di dalam Putrajaya terabai kerana program-program yang dilaksanakan tidak melibatkan mereka dan dilaksanakan di luar Putrajaya. "Soalnya kenapakah kita agak lambat menyedari tentang perkara ini."
Dalam liga bola tampar kali ini, pasukan V-Tech B dari Presint 11 telah berjaya menjadi johan. Tempat kedua disandang oleh pasukan Kembara, ketiga, Presint 8(4A) dan keempat, pasukan V-Tech A.
Pada hari yang sama juga telah berlangsung Pertandingan Futsal Kelab Rakan Muda Putrajaya di Pancarona. Sebanyak 16 pasukan telah mengambil bahagian dan pertandingan ini telah dimenangi oleh pasukan Sri Kenanga, tempat kedua, pasukan Six Nine A, tempat ketiga, Winning Eleven dan keempat Bosol B.
Sunday, April 26, 2009
Elak belia terjerumus aktiviti, pemikiran tidak sihat
Putrajaya, 23 April 2009 - Majlis Penyerahan Meja Ping Pong kepada Ketua Pemuda UMNO Cawangan Orkid merangkap Ketua Belia Blok 6F, Sdr Anuar Ismail telah berlangsung dengan meriah dan lancar. Seramai sekitar 50 orang hadirin hadir pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh wakil Pegawai Belia dan Sukan Daerah Putrajaya, Pn Radiah.
Pengerusi Kumpulan Yayasan yang juga Pengerusi Penaja Kelab Sukan Komuniti Putrajaya, Sdr Tun Faisal Ismail bin Aziz dalam ucapan beliau telah menyebut tentang kepentingan untuk menarik golongan belia bagi bersama-sama merealisasikan matlamat kenegaraan. Menurut beliau, ketua-ketua belia di blok-blok dan kawasan rumah teres dalam kejiranan Putrajaya perlu segera memainkan peranan masing-masing agar golongan belia tidak terjerumus dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan pemikiran yang bersifat anti-kerajaan.
Majlis Penyerahan Meja Ping Pong ini telah disempurnakan dengan penyerahan meja ping pong kepada Ketua Belia Blok 6F, sdr Anuar dan Ketua Blok 6F encik Shaari. Selepas majlis penyerahan, sdr Tun Faisal sempat meluangkan masa dan menunjukkan bakat bermain ping pong menentang Ketua Blok 6F dan Ketua Belia 6F. Dalam permainan tiga set tersebut, pasangan Sdr Tun Faisal dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Yayasan, Sdr Mohd Iqbal telah mengalahkan pasangan Ketua Belia dan Ketua Blok 6F dengan keputusan 2-1. (Gambar semasa majlis tersebut boleh dimuat turun. Sila layari slaid berkaitan di sebelah)
Tuesday, April 21, 2009
Liga Sukan Komuniti Putrajaya
Putrajaya, 22 April 2009 - Kumpulan Yayasan sekali lagi menunjukkan bahawa ia menentukan rentak pergerakan golongan pemuda di Putrajaya dengan terlibat menganjurkan Liga Sukan Komuniti bersama Kelab Sukan Komuniti Putrajaya. Empat sukan akan dipertandingkan secara liga, iaitu Bolasepak, Sepak Takraw, Bolajaring dan Bola Tampar. Liga ini dijangka akan bermula pada 9 Mei 2009 dan berakhir pada 24 Mei 2009. Maklumat mengenainya akan dihebahkan dalam masa terdekat. Tungguuuu.....
Subscribe to:
Posts (Atom)